|
PENDAHULUAN
Kampong Sengkarai Tutong,
sudah pun mempunyai Balai Ibadat (Surau) sejak tahun 50an dahulu,
semasa ketua kampong yang lama iaitu Pengiran Radin Bin Pengiran Dipa
Negara Pengiran Jaya, ketua kampong yang pertama pada waktu itu. Beliau
telah membina Balai Ibadat itu dengan cara bergotong royong diatas
tanahnya sendiri. Setelah beliau meninggal dunia, Balai Ibadat tersebut
masih digunakan hingga beberapa tahun kemudian dan disinilah puncanya
kesedaran beribadat yang tidak putus-putus hingga kehari ini.
BALAI IBADAT YANG ADA SEKARANG
Bila Balai Ibadat yang lama ini sudah tidak sesuai lagi, kerana
keadaannya yang begitu tidak mengizinkan (Bangunannya uzur, tidak boleh
menampung ramai orang) maka Ketua Kampong yang baru, telah merancang
membuat Balai Ibadat yang baru dan mengubah kedudukan yang lama kepada
kedudukan yang baru. Bangunan baru ini dibina berdekatan dengan Balai
Raya Kampong Sengkarai diatas Tanah Tol (Tanah Tumpang Sementara)
hingga sekarang. Cadangan ini dipersetujui oleh pendudok Kampong
Sengkarai dengan membentuk Jawatankuasa pembinaan dengan meminta
kebenaran untuk menjalankan derma kepada orang ramai bagi mendapatkan
kewangan.
Tahun 1980, derma telah dijalankan dan mendapat sambutan yang baik.
Hampir satu tahun iaitu bulan Mac 1981, Balai Ibadat ini telah mula
dibina dan selesai pembinaannya pada bulan Jun pada tahun yang sama,
dan digunakan pada tahun itu juga. Perbelanjaan dianggarkan berjumlah
sebanyak $28,000.00 dengan keluasan tanah seluas ¼ ekar. Tanah
ini adalah digunakan secara Tanah Tumpang Sementara(TOL). Sekarang
telah diambil alih oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal
Ugama, Negara Brunei Darussalam. Keluasan Balai Ibadat ini pada asalnya
ialah 40 kaki X 45 kaki.
Memandangkan para jemaah dari sehari ke sehari semakin bertambah dan
keluasan yang ada sudah tidak boleh menampung jemaah terutamanya
apabila Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha, maka timbul
pemikiran untuk menambah keluasannya bagi menampung ramai jemaah. Maka
jawatankuasa ta'mir Balai Ibadat ini telah meminta kepada Jabatan Hal
Ehwal Syariah (Sebelum Jabatan Hal Ehwal Masjid) untuk menambah besar
seluas 40 kaki X 30 kaki. Akhirnya Jabatan Hal Ehwal Syariah meluluskan
untuk membuat tambahan tersebut pada tahun 1987. Memandangkan juga
masaalah dapur untuk mengadakan majlis-majlis dan tandas, maka
ahli-ahli jawatankuasa ta'mir memikirkan, perlunya ada bangunan dapor
dan tandas yang baru. Maka Jabatan Hal Ehwal Syariah sekali lagi
meluluskan perbelanjaan bagi pembinaan dapur dan tandas yang baru ini
pada tahun 1991 dan sehingga hari ini ianya masih digunakan. Pada tahun
1992 atap yang lama telah diganti dengan atap yang baru yang mana
perbelanjaannya juga diberi oleh Jabatan Hal Ehwal Syariah.
|
|
Semenjak Balai Ibadat yang baru ini dibina, ia
belum mempunyai Pegawai Masjid yang tetap. Pentadbiran dan sembahyang
jemaah hanya diimami oleh Pemangku imam iaitu Cikgu Haji Mohd Hanifah
Bin Haji Alus (Guru Ugama) sehinggalah pada tahun 1996, Jabatan Hal
Ehwal Masjid telah menetapkan seorang Pegawai Masjid (Awang Haji Sufian
Bin Mohd Yassin), manakala jawatan bilal dipangku oleh Awang Haji
Ibrahim Bin Badar.
Balai Ibadat ini juga kerap kali dan setiap tahun mengadakan malam
bertedarus, khatam al-quraan, majlis doa aruah, penutup bertedarus,
sambutan-sambutan keagamaan dan negara. Rancangan-rancangan ta'mir
seperti halakah ilmu agama, ceramah-ceramah, forum,
pertandingan-pertandingan, kursus-kursus dan sebagainya telah diadakan.
Memandangkan rancangan ta'mir Balai Ibadat Kampong Sengkarai ini
berjalan dengan baik dan tersusun, maka pada tahun 1996 dan 2000 Balai
Ibadat ini telah di anugerahkan Masjid Ta'mir dalam kategori Balai-balai ibadat dan Surau-surau seluroh negara.
PERALATAN BALAI IBADAT
Semua peralatan didalam Balai Ibadat ini seperti kipas angin,
aircondition, jam besar, meja imam, set kerusi tamu, dan sebagainya,
adalah kebanyaknnya diwakafkan oleh orang ramai disamping diberi oleh
Kerajaan.
Lain-lain peralatan seperti amplefire, pada awalnya telah disumbangkan
oleh Syarikat Shell Brunei Berhad dan yang lain nya diberikan oleh
Kerajaan.
PENUTUP
Al-hamdullilah, pada masa ini pendudok Kampong Sengkarai Tutong, tidak
lagi bersusah payah untuk bersembahyang di Masjid yang lain, (sebelum
adanya Balai Ibadat ini mengadakan sembahyang Jumaat dan fardhu
berjemaah). Dan dengan adanya Balai Ibadat ini satu lagi syiar Islam
telah dapat ditegakkan, dan InsyaAllah dalam sedikit masa lagi,
penduduk-penduduk Kampong Sengkarai Tutong akan mempunyai satu lagi
Masjid yang baru, yang mana akan lebih ramai lagi menampung
jemaah-jemaah yang semakin hari semakin bertambah.
|