From : horrko
Date:
Sat, 01 Nov 2003
To: Webmaster
Cc:  
Subject: Pengikut zikir sambil menari
 

ALOR STAR: Pengikut ajaran sesat Aurad Ismailiah berkelakuan aneh apabila berzikir sambil menari seperti berada dalam disko dan sebutan zikir mereka juga sukar difahami.


Perkara itu dilihat dalam cakera padat video (VCD) mengenai amalan zikir mereka yang dipertontonkan kepada wartawan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Fadzil Hanafi, di pejabatnya di sini, semalam.

Dalam VCD itu, sekumpulan lelaki yang berpakaian jubah putih dan berserban duduk dan berzikir di sebuah masjid pada jam 5.20 dipercayai waktu pagi.

Tidak lama kemudian, kelakuan kumpulan lelaki itu mula tidak terkawal apabila mereka mula bangun dan menari-nari seperti berada di dalam disko.

Fadzil berkata, Aurad Ismailiah diharamkan Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam Kedah (Maik) pada 1979, namun ia dikesan dihidupkan kembali di negara ini, April lalu.

“Ajaran berkenaan kembali diamal dan disebar oleh ketuanya, Mahmud Abdul Rahman, 50-an, dan Madarasah Nurul Iman, Batu 5, Sik, dijadikan sebagai pusat ajaran terbabit.

“Sebelum ini, Mahmud sudah dipenjarakan selama sebulan akibat perbuatannya itu. Mengikut pengakuan Mahmud ketika siasatan terhadapnya pada 1979, dia menerima ajaran serta wirid yang dinamakan Aurad Ismailiah itu menerusi ilham ketika dia gila.

“Dia juga mengaku semasa gila, dia bertapa di Gua Bukit Enggang, Sik, dan gua itu dianggap pengikutnya sebagai Gua Hira’ manakala batu besar dalam gua itu dikatakan Hajral Aswad,” katanya.

Beliau berkata, Mahmud menggunakan ungkapan dalam bahasa Arab yang turut tidak difahaminya bagi menggambarkan ajaran yang dibawanya itu yang bermaksud: “Permulaannya gila, pertengahannya aneka ragam dan akhirnya apa saja yang dikehendaki semuanya jadi.”

Beliau berkata, sehingga kini, ajaran itu sudah tersebar di empat negeri iaitu Negeri Sembilan, Perak, Pahang dan Kedah. Di negeri ini, keahlian ajaran itu dikatakan sudah melebihi 100 orang.

“Pengikut ajaran itu kini meliputi pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan profesional, lelaki dan wanita,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan rakaman VCD itu, jelas perlakuan pengikut ajaran berkenaan bercanggah dengan syariat Islam dan secara tidak langsung menghina Islam dengan memberi imej negatif kepada masyarakat.

Fadzil berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan menyeluruh mengenai kewujudan kembali ajaran itu mengikut Perkara 166 (a), Enakmen Undang-undang Agama Islam Kedah kerana kesalahan melanggar fatwa yang diwartakan.

“Sekiranya didapati bersalah di mahkamah, pesalah mengikut Perkara 166 (a) boleh dipenjara tidak melebihi enam bulan atau denda tidak melebihi RM1,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

ahli ajaran sesat sedang menari sambil berzikir.


© Copy right 1999 2003. All right reserved.

sengkarai.com     e-mail